Mohon Maaf Blog ini tidak aktif kerana sebab sebab yang tidak dapat dielakkan.





Sunday, March 28, 2010

PENYAKIT MATI ROSOT ANCAM POKOK BETIK

Penyakit mati rosot ancam pokok betik

PEKAN SIK - Sebanyak 2,400 pokok betik terpaksa dimusnahkan akibat terkena penyakit mati rosot betik, melibatkan dua lokasi berbeza iaitu di belakang Hospital Sik dan Kampung Bakar Sampah. Pegawai Pertanian Daerah Sik, Rozaidi Abdul Rahman berkata, kesemua pokok betik yang ditanam di kedua tempat berkenaan, merupakan kes pertama dikesan. Menurutnya, lokasi di belakang hospital melibatkan 1,200 batang pokok dan dimusnahkan lebih awal, kemudian di lokasi di Bakar Sampah melibatkan dua orang pengusaha, seorang pengusaha memiliki 800 pokok sementara seorang lagi 400 pokok. “Penyakit itu adalah penyakit tanaman betik yang paling serius dan boleh menyebabkan kerosakan pokok serta kehilangan hasil buah betik. “Antara patogen penyebab penyakit itu ialah bakteria, ‘Erwinia papayae’, dan bahagian yang diserang seperti daun, pelepah, pucuk, batang serta buah betik secara keseluruhan,” katanya. Rozaidi berkata, mengikut Seksyen 11, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, petani dikehendaki memusnahkan segera benih dan anak pokok betik di tapak semaian dan ladang sekiranya diserang penyakit itu. “Dalam seksyen sama, Akta Kuarantin Tumbuhan 1976, mana-mana petani yang enggan memusnahkan tanaman berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000. “Antara matlamat utama penghapusan betik berpenyakit itu adalah untuk mencegah penyakit dari terus merebak dan menjadi ancaman kepada industri tanaman betik negara,” katanya. Menurutnya, pihaknya turut memberi penerangan secara lengkap kepada pengusaha terlibat, dan mereka dapat menerima arahan pemusnahan tanaman itu. “Sementara jenis betik yang berisiko penyakit itu ialah seperti betik Eksotika, Hong Kong, Solo dan Sekaki, pemusnahan pokok betik dilakukan dengan kaedah membuang pokok ke dalam lubang seterusnya menimbus dengan tanah. “Pengusaha terlibat akan diberi pampasan oleh jabatan, sebagai bayaran atas kerugian yang dialami, serta sebagai menghargai kepayahan mereka mengusahakan tanaman itu,” katanya. Dia berkata, pihaknya akan menggantikan dengan tanaman cili fertigasi di kawasan belakang hospital, manakala bagi lokasi Kampung Bakar Sampah akan ditanam dengan tanaman pisang melibatkan pengusaha yang sama.
Sumber: Harian Sinar : 29 Mac 2010