Mohon Maaf Blog ini tidak aktif kerana sebab sebab yang tidak dapat dielakkan.





Tuesday, May 24, 2011

TANAMAN STEVIA

TANAMAN STEVIA
(Kertas Maklumat ini disediakan untuk Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Sik Bil 4/2011)

1.0 TANAMAN STEVIA (Stevia rebaudiana Bertoni)

Stevia (Stevia rebaudiana Bertoni) adalah sejenis tumbuhan renek jangka pendek (3-5 tahun) dari famili Compositae. Tanaman ini berasal dari Paraguay yang digunakan oleh penduduknya secara tradisional sebagai pemanis dalam minuman ubat untuk mengatasi obesiti, darah tinggi dan diabetes. Daunnya mengandungi bahan pemanis bukan gula semula jadi iaitu stevioside and rebaudioside A.

Tumbuhan ini bersifat sensitif kepada panjang waktu siang. Stevia yang tumbuh di kawasan yang panjang waktu siang melebihi 13 jam boleh mencapai ketinggian sehingga 60 cm sebelum berbunga, manakala di kawasan waktu siangnya kurang daripada 12 jam seperti Malaysia, pokok sudah berbunga pada ketinggian 20-30 cm. Tumbesaran stevia akan berhenti bila pokoknya mula berbunga. Oleh kerana hasil stevia adalah daripada daun, maka stevia perlu dituai sebelum ia berbunga. Di negara iklim sederhana dengan waktu siangnya melebihi 13 jam, penuaian dibuat 3-4 kali setahun, sementara di Malaysia oleh sebab stevia berbunga awal, penuaian yang lebih kerap terhadap pokok raton, 8 kali setahun perlu dilakukan.

Stevia telah mendapat perhatian akhir-akhir ini dalam usaha orang ramai mengurangkan pengambilan karbohidrat terutama gula dalam makanan dan minuman. Daunnya yang mengandungi bahan pemanis semulajadi dengan nilai kalori sifar dan tahap kemanisannya 150-450 kali lebih tinggi daripada gula tebu (sukrosa), sangat berpotensi untuk dibangunkan sebagai pemanis tanpa kalori dalam makanan dan minuman terutama dalam usaha mengurangkan gejala obesiti dan diabetes.

Minat terhadap penghasilan produk stevia di negara ini bermula pada tahun 70-an tetapi gagal dan berkembang semula pada tahun 2005 dengan tertubuhnya kilang pemprosesan pemanis stevia, Stevia Biotechnology Sdn. Bhd. (sekarang PureCircle) di Labu, Negeri Sembilan. Pada masa ini PureCircle mengimport bahan mentah (daun kering) dari China. Sekarang ini kilang tersebut menghasilkan 1,000 tan rebaudioside A tulin setahun dan memasarkan produknya ke Russia, USA, Indonesia, Taiwan dan Colombia. Selain PureCircle terdapat sekurang-kurangnya dua kilang lagi di Malaysia yang menghasilkan produk stevia iaitu GAN dan Raza Bio Marketing (Tan, 2009), yang diharapkan menggunakan bahan mentah tempatan.

Sebagai pengganti gula, stevia mempunyai potensi yang besar untuk kegunaan dalam pelbagai produk makanan. Malaysia sekarang mengimport gula dan sediaan gula bernilai kira-kira RM1.5 bilion setahun. Penanaman tebu untuk gula di Malaysia terbatas di Perlis dan Kedah sahaja, tambahan pula industri ini tidak kompetitif dari segi kos berbanding dengan negara-negara pengeluar lain. Sebagai pemanis semulajadi tanpa kalori, stevia mempunyai “niche market” yang tersendiri terutamanya dalam produk-produk penjagaan kesihatan. Pada ketika ini produk-produk tersebut banyak menggunakan pemanis sintetik terutamanya dari kimia Aspartame. Pemanis stevia yang juga telah diperaku selamat oleh FDA mempunyai kelebihan berdasarkan kecenderungan pengguna kepada produk-produk semulajadi pada masa ini. Oleh itu kerajaan sangat berminat untuk mengkomersialkan penanaman stevia di Malaysia untuk manfaat para penanam dan pengusaha di negara ini dengan harapan kilang-kilang produk stevia di Malaysia mendapat bekalan dari penanam dalam negara sendiri. Negara China merupakan penanam stevia dan pengeluar produk stevia terbesar di dunia ketika ini diikuti negara-negara lain termasuk Brazil, Kanada, Rusia, Korea dan India.


2.0 STATUS TEKNOLOGI DAN ISU

Kilang memproses stevia di Malaysia masih mengimport bahan mentah dari luar Negara. Kos pengeluaran stevia yang ditanam dalam Negara masih lagi tinggi menyebabkan kos bahan mentah yang dihasilkan tidak kompitatif dengan kos bahan mentah import yang lebih rendah. Halangan utama yang membantutkan usaha penanaman stevia secara besar besaran di Negara ini adalah ketiadaan teknologi penanaman yang mantap. Penyelidikan yang dilakukan sehingga kini belum dapat menangani dua masalah utama dalam penanaman stevia iaitu (i) varieti yang benar benar sesuai dan (ii) kaedah penanaman yang jimat buruh. Dari segi benih, sungguhpun baka yang lebih baik telah dikenalpasti tetapi kesan ‘photo period’ masih besar yang menyebabkan pokok masih cepat berbunga dan penuaian perlu dilakukan terlalu kerap sehingga 8 kali setahun. Keadaan ini meningkatkan kos pengeluaran sungguhpun hasil kumulatif yang diperolehi standing dengan Negara Negara pengeluar lain yan menuai sekali atau 2 kali setahun. Penuaian yang kerap dalam keadaan pokok masih kecil menyebabkan kandungan bahan pemanis stevioside dan rebaudiaside A rendah sehingga 2-5 kali ganda berbanding yang ditanam dikanada.

Masalah lain yang merencat usaha penanaman stevia di Negara ini ialah kesukaran mendapat bahan tanaman. Walaupun ia boleh didapati secara pembiakan tampang menggunakan keratin tetapi kadar pertumbuhan anak benih terlalu perlahan dan kadar kemandirian di lading rendah. Selain itu kadar kemandiran pokok raton setiap kali selepas penuaian juga rendah. Tanaman stevia juga didapati sensetif kepada gegaran dan ini menghadkan penuaian berjentera dalam usaha untuk mengurangkan tenaga buruh seterusnya kos pengeluaran.

Oleh yang demikian, penyelidikan masih terus dijalankan untuk mendapatkan variati berhasil tinggi yang tidak sensitif kepada ’photo-period, kaedah pembiakan bahan tanaman dan amalan kultura yang efisien dengan kos pengeluaran yang minimun.



Rujukan :
Ahmad Tarmizi Sapii, Mansor Puteh dan Mohd Norowi Abd Hamid
‘TANAMAN BARU : ANTARA POTENSI DAN REALITI’ MARDI Serdang, Selangor.
“PERSIDANGAN KEBANGSAAN PEMINDAHAN TEKNOLOGI 2010”